Sabtu, 29 Disember 2012

Mistik Sewang

 


Sebahagian daripada masyarakat Temiar yang menghadiri upacara Sewang Gelap. Gambar ini dirakam pada keesokan harinya selepas upacara itu berakhir dengan kebenaran Tok Halaq.

WALAUPUN tidak dibenarkan merakam gambar, peluang untuk menyaksikan upacara Sewang Gelap yang dijanjikan oleh masyarakat Temiar di Fort Kemar tidak mungkin dilepaskan.
Ketibaan saya di penempatan Orang Asli di hulu Perak, baru-baru ini disambut mesra oleh sekumpulan penduduk sebelum dijemput ke tempat berlangsungnya upacara tersebut.
Perjalanan menuju ke dewan persembahan yang terletak di puncak bukit pada malam itu tidak begitu memenatkan kerana perasaan lebih diselubungi seram dan mistik.
Selepas kira-kira setengah jam, saya bersama sembilan orang rakan tiba di dewan persembahan yang dipanggil balai Senindol.
Bukan sekadar dewan persembahan, bangsal yang diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun bertam itu juga berfungsi sebagai rumah ibadat kepada masyarakat Temiar yang menganuti kepercayaan animisme.
Dalam kesamaran malam yang hanya diterangi cahaya bulan, kelihatan beberapa orang lelaki sedang menunggu ketibaan kami di halaman dewan. Di situ kami diminta memadamkan lampu suluh dan dinasihatkan supaya tidak membuat bising.
Di beranda dewan, seorang demi seorang dipakaikan hiasan kepala yang dianyam daripada daun nipah. Sejambak bunga yang digubah bersulam dengan daun-daun hutan yang dipanggil tempok turut disua ke tangan kami.
Menurut kepercayaan Temiar, pemakaian tempok adalah sebagai pelindung yang menjauhkan seseorang daripada semangat jahat yang mungkin memasuki badan ketika menyaksikan upacara purba tersebut.
Terdahulu, saya dimaklumkan upacara yang akan dipersembahkan pada malam itu jauh berbeza dengan persembahan sewang yang biasa dimainkan untuk tontonan pelancong.
Penduduk kampung, Othman Sending, 53, berkata, Sewang Gelap jarang disaksikan 'orang luar' kerana hanya dimainkan untuk tujuan perubatan dan upacara-upacara memohon hajat.
"Sewang malam ini adalah sewang sebenar seperti yang diamalkan oleh nenek moyang kami dahulu.
"Upacara ini hanya boleh dimainkan dalam keadaan gelap dan mempunyai banyak pantang larang. Sebab itu anda semua tidak dibenarkan membawa kamera," katanya.
Ketibaan kami di muka pintu dewan itu disambut oleh Ahmad Itam, 42, ketua balai yang akan mengepalai sewang. Menurut adat bersewang, ketua balai atau 'Tok Halaq' juga memainkan peranan sebagai dukun yang berkebolehan berkomunikasi dengan pesakit.


Kaum wanita masyarakat Temiar cukup berpengaruh dalam upacara Sewang.

Selepas melangkah ke ruang utama, tetamu diminta memenuhi tempat duduk di sebelah kiri dewan yang ketika itu hanya diterangi dua batang lilin.
Dalam kesamaran itu, kelihatan kelibat sekumpulan wanita sedang bersila sambil memegang dua batang buluh di tempat duduk bertentangan tempat duduk kami.
Tidak lama selepas itu, kedengaran suara Tok Halaq berbisik kepada orang kanannya sebagai isyarat majlis akan bermula. Dalam keheningan malam itu, suara garau seorang lelaki tua tiba-tiba memecah kesunyian dengan laungan dalam bahasa Temiar.
Walaupun tidak memahami apa yang dituturkan, saya sempat 'menangkap' beberapa patah perkataan seperti rahmat, berkat, selamat, hantu dan syaitan yang memberi gambaran bahawa Tok Halaq sedang membaca mantera.
Selepas menyampaikan hajat dan permintaan kepada semangat di hutan, Tok Halaq berdiri lantas memulakan nyanyian yang kemudian disambut oleh suara 'orkestra' perempuan yang cukup merdu.
Serentak dengan itu juga, kumpulan penyanyi wanita atau 'mek' mula menghentak-hentak dua batang buluh pada kayu genalang bagi menghidupkan rentak 'tribal' di dalam dewan sebesar gelanggang badminton itu.
Lagu yang dinyanyikan adalah secara bergilir-gilir antara suara lelaki dan wanita dengan cukup ringkas.
Mengikut kepercayaan Temiar, baris dan rangkap tertentu dalam lagu-lagu sewang dipilih sebagai korus yang berfungsi sebagai pujukan kepada roh nenek moyang mereka dan semangat di hutan agar hajat yang dipohon diperkenankan.
Pada malam itu, persembahan sewang ditujukan kepada rombongan kami supaya kehadiran dan kepulangan dijauhi daripada gangguan dan perkara tidak diingini.
Di tengah dewan, kumpulan penari lelaki atau 'nyuk' mula menari mengikut rentak alat muzik yang dipanggil 'smer'. Lantai buluh melendut dan meleding dipijak mereka, sesekali bergoyang sehingga ke tempat duduk kami.
Setiap kali berakhirnya rangkap lagu, jambak bunga yang berada di genggaman setiap penari dikibas-kibas pada seluruh badan.
Suasana mistik di balai Senindol dihidupkan lagi dengan hiasan daun-daun yang digantung di sekeliling dewan tarian. Meskipun tidak begitu mengetahui fungsinya, aroma daun-daun hutan yang mencucuk hidung itu mungkin menjadi pelindung kami daripada gigitan nyamuk.
Selepas kira-kira sejam, upacara berakhir dengan iringan doa oleh Tok Halaq. Sebelum dibenarkan pulang, para tetamu di bawa ke tengah dewan untuk disiram dengan air perahan pohon tebu hutan.
Titisan air yang mengalir keluar dari batang tumbuhan itu dipercayai mampu memulih dan menyembuhkan seseorang daripada sebarang penyakit disebabkan oleh gangguan semangat jahat.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20121206/pl_01/Mistik-Sewang

1 ulasan:

  1. Agen Judi MGMCASH88 Online Terbesar Dan Terpercaya Indonesia.
    Bergabunglah Bersama Kami Para Member Yang Setia Di MGMCASH88,
    Bagi Anda Yang Belum mempunyai ID , Silahkan Melakukan Registrasi (Daftar).

    Hanya 1 Rekening Anda Sudah Bisa Bermain Semua Game yang ada DI MGMcash88
    Ini adalah list game yang ada di MGMcash88 :

    - SBOBET BOLA
    - SBOBET CASINO
    - ION CASINO
    - MAXBET
    - TANGKAS 365
    - 368bet
    - SABUNG AYAM
    - CBO855
    Tersedia Game Baru kami Fish Hunter ( Tembak Ikan )

    PROMO BANDAR ONLINE MGMCASH88 :
    -Bonus Depo Bola 50%
    -Bonus Cashback Bola 5% - 10%
    -Bonus Depo Casino 3%
    -Bonus Rollingan Casino 0.7%
    -Bonus Referal Bola 3% MenangKalah teman
    -Bonus Referal Casino 1% MenangKalah teman

    Costumer Service 24 Jam Online :
    Pin BBM : 7B2EC260
    Pin BBM khusus : mgmcash8

    Whatsapp atau nomor sms :
    +66615620266
    YM : mgmcash88

    BalasPadam